PETALING JAYA: Sebarang mesej yang ingin disampaikan rakyat kepada perdana menteri boleh diserahkan melalui Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang akan menghadiri jamuan teh bersama Datuk Seri Najib Razak pada 12 Ogos ini.
Sin Chew Daily memetik Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang ditemubual dalam rancangan ‘Obviously Harith Iskander’ di Astro Awani disiarkan malam tadi berkata, semua cadangan yang pernah dikemukakan beliau adalah demi kebaikan rakyat dan generasi akan datang, bukan untuk kepentingan dirinya.
Sehubungan itu, jika berlaku perkara tidak wajar, beliau tidak akan teragak-agak untuk menyuarakannya.
Tambahnya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Ismail pernah menasihatkan beliau supaya tidak keliru antara politik dan pendidikan, agama serta perniagaan, kerana ia hanya akan menyebabkan rasuah berlaku.
Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail memberi jaminan segala maklumat yang disimpan dalam pemacu pena dimilikinya berhubung dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengubah keadaan dalam persatuan itu.
Beliau berkata, maklumat risikan itu adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam FAM dan ia ada kaitan dengan perancangan skuad kebangsaan.
Sehubungan itu, beliau berpendapat pucuk pimpinan FAM sedia ada perlu berundur kerana mereka tidak memahami bola sepak dan tidak sedar dengan keadaan dalam negara ini.
“Kita tidak boleh cakap dengan yakin yang persatuan bola sepak negara tidak memerlukan bantuan luar. Bola sepak negara memang mempunyai banyak kelemahan dan perlu bergantung kepada pakar asing untuk membantu membangunkannya.
“Saya secara peribadi percaya peningkatan dari segi pendidikan dan tahap penguasaan bahasa di kalangan pemain boleh membantu meningkatkan prestasi profesional mereka,” katanya sambil menambah beliau mungkin menjadi penasihat untuk memberi pendapat terhadap beberapa program atas jemputan Kementerian Belia dan Sukan.
Pada 18 Julai lalu, Tunku Ismail melalui Facebook Johor Southern Tigers mendedahkan beliau memiliki satu pemacu pena yang menyimpan laporan aktiviti dalaman FAM yang didakwanya berlarutan selama 30 tahun, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Jelasnya, pemacu pena itu diperoleh menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.
- FMT
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment