PAS: Usah biar Sarawak Report terus perdaya rakyat
PAS bersetuju dengan pendirian kerajaan yang mahu rakyat tidak terpedaya dengan laporan dikeluarkan laman sesawang Sarawak Report mengenai 1MDB.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim berkata seperti dinyatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak laporan lengkap mengenai agensi pelaburan milik kerajaan itu adalah seperti disiapkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Apa yang didedahkanSarawak Report pula, kata Tuan Ibrahim, didakwa telah "menyimpang jauh daripada kebenaran."
"Bagi menyelesaikan kebimbangan Salleh dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, dan untuk menghalang Sarawak Report daripada terus memperdayakan rakyat, PAS mendesak agar laporan ketua audit negara mengenai 1MDB yang tulen mesti didedahkan segera," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Semalam Salleh mendakwa Sarawak Report cuba memperdayakan orang ramai mengenai laporan siasatan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB.
Dalam kenyataan dimuat naik di blog beliau Salleh berkata penemuan audit bukan laporan akhir mengenai 1MDB sebaliknya sekadar satu daripada komponen dapatan PAC mengenai 1MDB.
"Laporan ketua audit negara bukanlah laporan muktamad mengenai 1MDB. Ia hanyalah salah satu komponen yang membentuk laporan PAC. Dan siniSarawak Report secara nakal memperdayakan orang ramai.
"Malah, laporan ketua audit negara bukannya lengkap kerana ia hanya menangani satu aspek 1MDB.
"Laporan lengkap adalah daripada PAC kerana ia bukan sahaja mengambil kira laporan ketua audit negara tetapi semua maklumat yang lain yang dikumpulkan," katanya.
Sarawak Report bagaimanapun mendakwa telah memperolehi laporan itu dan membocorkan beberapa petikan dan dokumen berkenaan sejak empat hari lalu.
Justeru Tuan Ibrahim berkata mendedahkan laporan ketua audit negara - yang kini diklasifikasikan sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi - perlu dilakukan.
Dengan itu kata beliau kerajaan melalui medianya boleh menunjukkan di mana kesilapan Sarawak Report dan membuktikan bagaimana rakyat diperdaya laman sesawang berkenaan seperti didakwa Salleh.
"Diharap kerajaan BN terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat mengambil langkah proaktif ini.
"Bukankah kemenangan besar di pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberikan keyakinan penuh kepada perdana menteri dan BN bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan lagi dengan skandal 1MDB?
"Ini hanyalah satu laporan audit - seperti kata Salleh - dan cuma satu komponen kecil untuk PAC menyediakan laporannya terhadap 1MDB.
"Bukan itu sahaja, malah semua pengkritik dalaman mengenai 1MDB seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal bukan lagi ahli Umno.
"Jadi, apa yang perlu dirisaukan? Lawan fakta dengan fakta," katanya.
- mkini
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment