Friday, 22 July 2016

Ketua Pemuda UMNO Kedah: Konspirasi AS Cabar Kedaulatan Negara

PEMUDA UMNO KEDAH: 1MDB : 'Ada konspirasi cabar kedaulatan negara'. - Gambar fail



KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Kedah yakin wujud konspirasi bermotifkan politik pada peringkat tertinggi untuk mencabar kedaulatan negara dalam isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Kerajaan juga perlu memulakan siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai jaringan antarabangsa dan bersekongkol ingin mencabar kedaulatan negara secara terang-terangan.

"Sepertimana ghairahnya suatu ketika dahulu pihak Amerika memomokkan kononya Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran "weapon of mass destruction" (WMD) sebagai justifikasi untuk menakluki Iraq untuk kuasai minyaknya, saya tidak hairan jika modus operandi sama digunakan dalam kes yang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB.

"Persoalannya kenapa dengan tiba-tiba Jabatan Keadilan Amerika boleh mengeluarkan kenyataan untuk membekukan aset yang dikatakan dibeli melalui salah guna wang 1MDB? Kenyataan itu pula jelas merujuk berdasarkan aduan awam dan siapakah pula gerangan pihak awam yang dimaksudkan?

"Melainkan jika aduan ini ada kaitan dengan segelintir pihak dalam negara yang sekian lama merancang untuk menjatuhkan dan memalukan kepimpinan negara, maka tidak salah usaha ini boleh kita katakan sebagai konspirasi terancang tahap tertinggi melibatkan elemen subversif dalaman negara dan golongan berkepentingan di peringkat antarabangsa," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.

1MDB pada Khamis menafikan ia adalah pihak yang berdepan saman siviloleh kerajaan Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Malaysia akan bekerjasama sepenuhnya dengan sebarang siasatan berhubung syarikat-syarikat Malaysia atau rakyatnya mengikut protokol antarabangsa.

Dalam pada itu Shaiful melihat serangan fasa kedua terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Najib harus dipandang serius dan tindakan serta merta perlu diambil bagi memelihara imej dan reputasi negara.

"Nampaknya juga ada pihak yang tidak mahu mengaku kalah dan menerima hakikat bahawa fitnah dan pembohongan mereka gagal meruntuhkan kepimpinan yang sedia ada," jelasnya.

Meskipun begitu, Shaiful turut memuji langkah segera pihak pengurusan 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri sendiri yang tangkas mengeluarkan makluman dan pemberitahuan menafikan penglibatan berhubung kes itu.

"Ia sekali gus dapat mententeramkan kekeliruan yang sedang bermain dan berlegar di kalangan masyarakat.

"Hakikatnya, isu 1MDB ini telah pun diperjelaskan oleh SPRM dan Jabatan Peguam Negara dan semua pihak perlu menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka," katanya.

Peguam negara AS, Loretta Lynch sebelum ini memaklumkan beberapa individu menyalahgunakan dana syarikat 1MDB.

Tambah Lynch, individu tersebut memasukkan sejumlah dana ke akaun bank peribadi mereka.

Lynch turut berharap dana yang disalahgunakan ini akan dibawa kembali ke Malaysia.

- astroawani




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP