Tuesday, 19 July 2016

Kenapa Sahara Yaacob Jatuh Miskin



Biar apa disangka orang, penyanyi seksi yang kini bertudung Sahara Yaacob tahu apa yang dibuat.

Daripada dunia glamor, artis yang sering muncul di dada akhbar dan televisyen dengan solekan tebal, rambut mengerbang, baju terdedah dan berseluar ketat - digelar simbol seks - tiba-tiba dilapor miskin.

Namun, bagi Sahara, 60, semuanya bersebab.

Bahkan jalan hidup dipilih tidak sekelumit pun menimbulkan sesal, asalkan dia dapat berbakti kepada ibunya Umi Kalsom Mohd Nusi, sehingga meninggal dunia lima tahun lalu.

“Saya faham seandainya ramai yang buruk sangka dengan kehidupan pernah dilalui dahulu, termasuk berpakaian seksi, maka inilah musibah yang harus diterima.

“Sebenarnya, tidak sukar untuk saya membuat keputusan sama ada memilih suami dan kesenangan hidup atau pun menjaga mak yang sedang sakit.

“Maka saya memilih untuk menemani mak hingga ke dia menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya kepadaMalaysiakini.

Umi Kalsom meninggal dunia pada 2011 ketika berusia 90 tahun.

Pulang dari Mesir

Sahara atau nama sebenarnya Zaharah Mohd Yaacob baru-baru ini dilapor menginap sebuah bilik stor di Hulu Langat yang bersambung dengan kediaman arwah kakaknya, yang dibina sejak 1985 lalu.

Penyanyi 80-an yang digelar Tina Turner Malaysia itu berkata, pengalaman menjaga arwah ibu ketika wanita itu jatuh sakit adalah pengalaman yang sukar dilupakan.

Rajuk Sahara dalam industri membawa dia hingga ke Mesir pada 2002 selepas bernikah dengan suami kelima, jejaka Arab Hosam Mohamed yang berusia 20 tahun lebih muda.

Setelah lima tahun menetap di negara piramid itu, nekad Sahara membawanya pulang pada 2007 apabila ibunya sakit kuat.

“Sebelum pulang ke sini (Malaysia) hampir setiap malam saya mengalami mimpi mengenai kesihatan arwah. Ia menimbulkan perasaan sayu apabila mengenangnya yang berada jauh di mata.

“Mak lebih penting, kerana itu kepulangan ke sini seratus peratus untuk memberi sepenuh perhatian kepada individu yang penat melahirkan malah saya sanggup menjaganya bagaikan menatang bayi baru lahir.

“Bagaimanapun, sekembali ke sini, kehidupan menjadi begitu sukar, makanan yang diperoleh tidak cukup tetapi saya dan adik-beradik sanggup ikat perut asalkan mak tidak,” katanya.

Liku-liku perjalanan kehidupan anak kesembilan daripada sepuluh beradik itu mungkin boleh disimpulkan tidaklah seindah mana walaupun dia pernah memandu kereta sport dan memakai barang berjenama.

Tak cukup deposit rumah

Disebabkan tidak mempunyai pendapatan, wanita yang kini berpenampilan jubah dan selendang itu hanya mengharapkan belas ihsan dari sanak-saudara terdekat untuk sesuap nasi.

Namun Sahara tidak berniat untuk menyusahkan kerana mengerti keluarga yang datang membantu juga bukanlah terdiri daripada golongan yang senang.

“Cukuplah bagi saya mengalas perut dengan roti, mi segera atau nasi lemak yang tidak habis dijual oleh anak saudara kalau ada,” katanya.

Keperitan hidup Sahara akhirnya mendapat banyak perhatian termasuk Persatuan Seniman Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL meluluskan Program Perumahan Rakyat Seri Alam Sungai Besi kepada penyanyi itu minggu lalu.

Bagaimanapun, kesusahan itu belum berakhir buat Sahara kerana dia masih memerlukan sumbangan untuk melunaskan deposit sewa rumah.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP