Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) David Teo tampil memohon maaf atas kenyataannya yang dianggap menghina allahyarham Tan Sri P Ramlee.
David, 51, berkata kejadian yang menimbulkan reaksi negatif beberapa pihak berlaku disebabkan "salah faham antara pihak yang mendengar dan penulis artikel".
“Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua terutamanya kaum keluarga Seniman Agung Tan sri P Ramlee dan seluruh penggiat seni tanah air yang terguris dengan isu yang sedang diperkatakan sekarang.
“Saya sentiasa berpesan kepada artis-artis dan pengarah di bawah naungan syarikat (MIG) supaya sentiasa berdisiplin dan berilmu supaya tidak menjadi mangsa tipu daya golongan yang ingin mengambil kesempatan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di portal Metrowealth Pictures selepas tengah malam tadi.
Dalam pada itu, David turut menafikan dia pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang tersebar di media.
Menurutnya, dia bukan saja tergolong antara ribuan penggemar karya P Ramlee, malah turut berasakan bakat sebesar Seniman Agung itu bukan mudah untuk dicari ganti.
“Seniman Agung Tan Sri P Ramlee tiada galang ganti sebagai seorang insan seni yang multi talented.
“Saya sebagai penerbit sangat mengagumi karya-karya beliau yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
“Tidak juga terdetik sedikit pun untuk menidakkan apatah lagi menghina Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan karya-karya beliau,” katanya.
Nafi buat kenyataan begitu
Malaysiakini semalam menyiarkan kenyataan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang menuntut Teo memohon maaf secara terbuka ekoran laporan memetik beliau oleh Malay Mail Online.
Melalui lapora itu Teo didakwa membandingkan kehidupan P Ramlee dengan rancangannya memajukan artis bernaung di bawah MIG.
Setiausaha Agung SENIMAN Hafiz Nafiah berkata kenyataan Teo seperti disiar portal terbabit mengguris hati banyak pihak termasuk kaum kerabat P Ramlee.
Teo dilaporkan berkata tidak ada faedah menjadi pelakon tetapi hidup melarat seperti "pengakhiran kehidupan P Ramlee".
“Kalau tak jadi jutawan, jangan jadi pelakon. Gila glamor buat apa? Kita kena kaya raya. Jangan seperti P Ramlee tinggal pun di tepi Bukit Bintang.
“Anak dia kena kerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Perbelanjaan kenalah dikawal secara berhemat," katanya dipetik portal berkenaan.
Kata Teo beliau menafikan pernah membuat kenyataan seperti tersebar di media ketika ini.
"Saya dengan ini menafikan dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang tersebar sekarang di media," katanya.
Berdasarkan kenyataan di laman sesawang MIG Teo kini berada di Beijing, China.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment