PETALING JAYA: Ketua Amanah Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah mempersoalkan sikap membisu pemimpin dan agamawan Islam negara ini terhadap dakwaan berkait akauntabiliti dan pembaziran wang di kalangan pemimpin tertentu seperti yang kerap dilaporkan.
“Di mana para ulama dan mufti negara yang berjubah panjang? Adakah mereka hanya menjadi penyeri majlis rasmi dan penghias pandangan untuk penonton TV sahaja?” tanya ahli Parlimen Kuala Terengganu itu.
Beliau turut membidas golongan yang selama ini mengaku pembela bangsa, tetapi masih tidak memberikan respon berikutan pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat Rabu lalu berkenaan salah guna wang melibatkan syarikat milik negara, 1MDB.
“Di manakah pembela ‘orang Melayu’ yang pernah berdemonstrasi kerana mendakwa hak dan harta Melayu ditipu dan dikhianati?
“Bukan hanya para ulama ulama tidak bersuara seperti sepatutnya, pejuang hulubalang ‘hak Melayu’ pun membisu seribu bahasa,” katanya.
Jabatan Kehakiman AS bertindak memfailkan saman di Los Angeles bagi menyita aset berkait 1MDB bernilai AS$1 bilion atas tuduhan salah laku dan rasuah.
Ia merupakan kes korupsi luar negara yang terbesar pernah ditangani Jabatan Kehakiman.
Raja Bahrin turut mengingatkan Putrajaya nasihat Majlis Raja-raja Melayu pada tahun lalu yang mahu siasatan telus terhadap 1MDB.
Beliau berharap pihak istana akan menggesa suatu siasatan bebas diadakan susulan perkembangan terkini.
“Sebelum itu Majlis Raja-Raja diminta mengarah kerajaan membenarkan laporan Ketua Audit Negara tentang 1MDB diluluskan untuk dibaca oleh rakyat,” katanya merujuk laporan audit Jabatan Akauntan Negara yang kini di bawah Akta Rahsia Rasmi.
- FMT
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment