Thursday, 28 July 2016

Pemimpin PKR Hentam DAP Anggap Rakan Sebagai 'Budak Suruhan'



PETALING JAYA: Perang mulut antara parti komponen Pakatan Harapan nampaknya sengit apabila seorang pemimpin PKR dilihat seolah membalas kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua.

Ketua Biro Undang-Undang PKR Latheefa Koya dalam catatan di Facebook mengingatkan sasarannya bahawa rakan-rakan komponen Pakatan Harapan bukan budak suruhan mereka.

Pihak berkenaan turut disaran menggunakan fakta yang betul kerana bukan PKR yang membuat keputusan sebelah pihak.

Latheefa bagaimanapun tidak menamakan sesiapa atau menerangkan catatannya merujuk apa.

“Pertamanya siapa yang mengumumkan pilihan raya kilat secara sebelah pihak?

“Atau..siapa yang mengumumkan pembubaran Pakatan Rakyat secara sebelah pihak?

“Atau…siapa yang mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan – semua itu kepada media sebelum keputusan dimuktamadkan??” kata Latheefa.

Beliau dipercayai menjawab catatan Tony hari ini yang mengeluh mengenai ‘kawan’ yang tidak membalas budi DAP.

Tony berkata DAP menyokong ‘kawan’ itu mengharungi krisis tetapi apabila DAP perlukan sokongan, ‘kawan’ itu sebaliknya mengumumkan keputusan mereka kepada media sebelum memberitahu DAP.

Catatan Tony itu dipercayai ditujukan kepada PKR yang semalam mengumumkan belum cukup yakin dengan semua alasan untuk mengadakan pilihan raya kilat di Pulau Pinang.

“Alasan kamu untuk mengadakan pilihan raya kilat itu asyik berubah,” kata Latheefaa, “mula-mula untuk dapatkan semula mandat rakyat (pelik apabila kamu bertegas tidak pernah kehilangan mandat itu).”

“Kemudian kamu kata ia tidak ada kena mengena dengan pendakwaan terhadap ketua kamu dan sekarang kamu kata ia referendum terhadap Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) berasaskan kepada pendedahan terbaru DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

“Barangkali, kamu semua perlu tetapkan fikiran yang mana satu sebab sebenarnya, dan kemudian temui kami dan yakinkan kami,” tegas Latheefa.

Sementara itu, Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata dirinya tidak tahu siapa yang Tony tujukan, kerana PKR dari awal menyatakan tidak yakin dengan cadangan pilihan raya kilat di Pulau Pinang.

“Maka, semasa mesyuarat pusat khas parti semalam, kita bersetuju untuk menghantar perwakilan kepimpinan kanan parti untuk bertemu DAP secepat mungkin.

“Sebarang isu boleh dibincangkan oleh perwakilan pimpinan tertinggi itu,” katanya, dan menambah beliau sendiri tidak termasuk dalam perwakilan tersebut.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP