Wednesday, 13 July 2016

Bubar DUN Untuk Selamatkan 'Nyawa Politik' Guan Eng



KUALA LUMPUR: Cadangan DAP supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan hanya untuk menyelamatkan nyawa politik Lim Guan Eng.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, cadangan tersebut dilihat tidak berkaitan dengan pertuduhan dakwaan kes rasuah yang sedang dihadapi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

"Ia tidak ada kaitan dengan cadangan pembubaran DUN, kes rasuah merupakan kes peribadi Guan Eng, tiada kaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri.

"Cadangan tersebut merupakan helah DAP untuk menyelamatkan kerjaya politik Guan Eng.

"Bubar DUN supaya berlaku pilihan raya negeri bukan penentu untuk membersihkan Lim Guan Eng bersalah atau tidak dalam kes rasuah dan salah laku, keputusannya adalah mahkamah," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Menurut Syed Ali lagi, DAP sengaja mahu mengheret rakyat supaya bersimpati dengan Guan Eng sambil membuat dakwaan ia sebagai pertuduhan politik yang didalangi UMNO.

Dakwaan karut

"Mereka (DAP) dakwa Guan Eng dikenakan pertuduhan politik atas isu rasuah angkara konspirasi UMNO, ia satu dakwaan karut dan tidak benar sama sekali.

"Pembubaran DUN lazimnya boleh dilakukan apabila seseorang Menteri Besar atau Ketua Menteri hilang sokongan majoriti dua pertiga ahli dewan.

"Ia juga boleh berlaku apabila seseorang Menteri Besar atau Ketua Menteri sudah tidak lagi mendapat perkenan Raja atau Sultan," jelasnya.

Dalam kes Guan Eng ujarnya, Ketua Menteri itu sebenarnya berdepan dengan isu peribadi.

"Guan Eng didakwa atas tuduhan rasuah, bukannya membabitkan kepentingan rakyat atau pun pentadbiran kerajaan negeri berkenaan," tegasnya.

Menurut Syed Ali lagi, pilihan raya negeri atau referendum yang dicadangkan DAP itu tidak bermakna Guan Eng boleh dibersihkan daripada dakwaan salah laku sebagai seorang Ketua Menteri.

Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 Jun lalu terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran status zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai harga pasaran sebenar.

Bagaimanapun, Guan Eng tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Pemilik banglo berkenaan, Phang Lim Koon yang turut didakwa bersubahat dengan Guan Eng juga tidak mengaku salah.

Mengumpan rakyat

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kesal kerana DAP sengaja mengumpan rakyat supaya bersimpati dengan Guan Eng.
"Rakyat khususnya penduduk Pulau Pinang tidak ada kena mengena dengan perilaku Guan Eng dan sewajarnya sudahpun bercuti atau meletakan jawatan secara terhormat," katanya.

Tambahnya, DAP akan lantang 'berteriak' jika ada mana-mana pemimpin UMNO yang disabitkan dengan pertuduhan kes salah laku atau rasuah supaya meletakan jawatan.

"Tetapi dalam kes Guan Eng, mereka manipulasikan isu rasuah, kutip derma daripada rakyat seolah-olah Ketua Menteri itu menjadi mangsa kezaliman politik," tegasnya.

Syed Ali turut menyelar pemimpin pembangkang terutama PKR dan Parti Amanah Negara yang hanya membisu berhubung kes Guan Eng.

"Mana Mohamad Sabu (Amanah), Rafizi (PKR), kenapa tidak menjerit minta Guan Eng letak jawatan setelah diheret ke mahkamah atas dakwaan rasuah?" soalnya. - astroawani



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP