Najib terlalu bijak untuk guna Akta MKN elak PRU
PETALING JAYA: Penganalisis politik menepis dakwaan pembangkang kononnya perdana menteri akan menggunakan kuasa diperuntukkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelak mengadakan pilihan raya umum (PRU).
Mereka berkata, Datuk Seri Najib Razak terlalu bijak untuk berbuat demikian, selain hakikat akta itu hanya membenarkan sebuah kawasan kecil diisytiharkan kawasan keselamatan.
Prof Madya Jeniri Amir dari Universiti Sarawak Malaysia berkata, rakyat kini semakin sedar dan berpendidikan daripada segi politik berbanding dahulu.
“Rakyat tentu akan membantah, apatah lagi kumpulan sivil dan NGO jika Najib berbuat demikian kerana ia jelas adalah penyalahgunaan kuasa dan saya pasti Najib tidak akan berbuat demikian,” katanya kepada FMT.
Jumaat lalu, Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP, Syerleena Abdul Rashid berkata, Najib boleh menggunakan kuasa besar di bawah Akta MKN untuk mengisytiharkan seluruh negara berada di bawah ancaman keselamatan, bagi mengelak tiada pilihan raya diadakan.
Pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi sependapat yang Akta MKN tidak membenarkan seluruh negara diisytihar sebagai kawasan keselamatan.
“Saya rasa Akta MKN hanya membenarkan kawasan kecil diisytihar berada di bawah ancaman, tetapi bukan seluruh negara,” katanya sambil menambah darurat hanya boleh diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.
“Dalam dunia demokrasi, semua mata memandang ke arah Malaysia dan jika perdana menteri hendak mengisytiharkan darurat hanya untuk mengelak pilihan raya umum akan datang, seluruh dunia akan pandang negatif terhadap beliau.”
Awang Azman berkata, Najib tidak perlu takut kepada PRU akan datang kerana kajian persempadanan semula yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), baru-baru ini, akan membawa manfaat besar kepada Barisan Nasional.
Ini kerana, katanya, persempadanan semula itu akan memberi keyakinan kepada perdana menteri yang BN akan mencapai prestasi lebih banyak berbanding PRU sebelum ini.
“Jadi, tiada keperluan untuk beliau mengelak pilihan raya umum akan datang,” katanya.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment