Betul atau tidak, Pas akan bersetuju bergabung dengan parti pembangkang lain pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 demi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sumber dalaman Pas memberitahu, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bersetuju untuk bergabung hanya untuk kerusi Parlimen sahaja sementara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih lagi dalam rundingan tidak rasmi.
"Matlamat semua pembangkang adalah untuk menukar kerajaan BN dan untuk mencapai matlamat tersebut, pembangkang mestilah memenangi semua kerusi Parlimen.
"Jika perancangan berjalan lancar, maka semua kerusi parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan mana-mana parti pembangkang.
"Kalau tak buat begitu, maka susahlah pembangkang hendak jatuhkan kerajaan BN dan sampai bila pun tidak akan berjaya jika berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya ketika dihubungiMalaysiaGazette.
Jelasnya, walaupun tidak diumumkan secara rasmi, tetapi percaturan itu dilihat sangat berkesan dan pasti akan memberi tekanan kepada kerajaan BN.
"Pengalaman Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah cukup menjadi pengajaran kepada parti-parti pembangkang.
"Melalui persetujuan ini, kedudukan parti pembangkang akan lebih kuat dan memudahkan rakyat untuk membuat pilihan," ujarnya.
Mengenai pembahagian kerusi, katanya, Pas akan tetap mempertahankan kerusi sedia ada manakala pembangkang lain akan membuat pembahagian mengikut persetujuan bersama.
"Pada dasarnya, Pas bersetuju untuk bergabung dan yakin cara itu yang terbaik untuk menewaskan BN nanti pada PRU ke-14.
"Kerusi DUN pula, kemungkinan syarat yang dikenakan Pas adalah pembangkang lain tidak boleh bertanding di Kelantan kerana mahukan negeri itu terus kekal di bawah pemerintahan Pas.
"Begitu juga dengan Pulau Pinang dan Selangor yang akan dikekalkan seperti mana hari ini," katanya.
Tambahnya, apa yang penting adalah persetujuan Pas bergabung dengan parti pembangkang lain untuk bertanding satu lawan satu dengan BN pada PRU ke-14 nanti. - MalaysiaGazette
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment