Friday, 16 September 2016

Pertemuan Dr Mahathir Dengan Agong Sia-Sia, Bidas Pimpinan BN



PETALING JAYA: Pemimpin Barisan Nasional (BN) menyifatkan pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam hanya sia-sia.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Bung Moktar Radin berkata tindakan Dr Mahathir itu sekadar memenuhi syarat Deklarasi Rakyat menyerahkan tandatangan kepada Agong.

“Dr Mahathir sedar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dapat dijatuhkan dengan Deklarasi Rakyat. Pertemuan itu tidak akan membawa apa-apa makna mahupun perubahan dalam politik negara,” katanya kepada FMT.

Semalam, Dr Mahathir mengadap Agung dan menyerahkan 1.4 juta tandatangan mendesak Najib meletak jawatan.

Pertemuan itu diadakan di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah pada jam 4.30 petang dengan ditemani bekas Naib Pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan disahkan pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof ketika dihubungi FMT

Selain itu, Bung berkata hanya 3 cara sahaja yang boleh menjatuhkan Najib iaitu Pilihan Raya Umum (PRU), undi tidak percaya di Dewan Rakyat dan parti Umno itu sendiri meminta Perdana Menteri disingkir.

Sebaliknya, demontrasi jalanan, memorandum atau Deklarasi Rakyat tidak akan memudaratkan kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri.

“Jadi, rakyat jangan terpangaruh dengan khabar angin yang tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata pertemuan 4 mata itu hanya membuang masa Baginda.

Malah, Nazri mencabar jika mahu menjatuhkan Najib, Dr Mahathir perlu memenangi PRU terlebih dahulu.

“Jika Dr Mahathir mahu membazirkan seluruh hidup beliau, maka teruskan tetapi jangan bazirkan masa Agong.

“Negara kita mengamalkan pemerintahan mengikut parlimen dan sistem demokrasi. Tindakannya (Dr Mahathir) tidak akan menjejaskan Umno sama sekali,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim juga yakin pertemuan itu tidak akan menjejaskan sistem politik negara masa ini.

“Sistem politik sekarang melalui proses pilihan raya. Sudah pasti banyak pihak boleh jumpa Agong. Jadi itu juga proses biasa. Sekadar beri pandangan,” katanya.

Kali pertama Deklarasi Rakyat dibacakan kepada umum adalah pada 4 Mac lalu. Antara lain ia menuntut Najib melepaskan jawatan bagi membuka jalan kepada reformasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.  

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP