Sunday, 11 September 2016

Bekas Penjual Kuetiau Tunai Janji Raih Emas Di Paralimpik



KUALA LUMPUR: Bapa mana tidak bangga apabila anaknya yang pernah menjual kuetiau di ibu kota, kini menjadi penyumbang emas pada Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil.

Zolkefli Othman jelas berbangga dengan Muhammad Ziyad yang berjaya menunaikan janji untuk menghadiahkan pingat emas buat keluarganya dan negara menerusi acara lontar peluru.

Ziyad, 26, melalui acara F20 (masalah pembelajaran) turut mencipta rekod dunia baharu dengan lontaran sejauh 16.84 meter pada percubaan kelima beliau di temasya sukan berprestij itu, pada Sabtu.

Lebih manis apabila kilauan emas itu merupakan hadiah sempena ulang tahun kelahiran Zolkefli ke-62 pada 1 September lalu.

“Masa saya hantar Ziyad di KLIA pada 1 September lepas, hari itu adalah hari jadi saya. Dia berjanji kepada saya akan membawa hadiah pingat emas. Kami sekeluarga sangat gembira dengan kejayaannya,” kata Zolkefli kepada Bernama.

Zolkefli menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya seperti Ziyad supaya sentiasa mendekati anak masing-masing kerana mereka mempunyai kelebihan luar biasa.

“Ziyad tidak suka menyusahkan orang. Beliau sangat berdikari serta pandai memasak. Sebelum dia ke Majlis Sukan Negara, Ziyad berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman menjual kuetiau.

“Ziyad memang seorang anak yang tidak pernah putus asa dan rajin sejak zaman sekolah lagi. Ziyad memang suka kerja berat. Ketika di Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah di Kelantan, dia melakukan kerja bina rumah apabila cuti sekolah.”

Beliau berkata, anak sulung daripada empat beradik itu meminati sukan sejak sekolah rendah lagi.

“Saya masih ingat lagi, anak saya bermula darjah lima baru tahu membaca. Ziyad dibantu seorang guru wanita berbangsa India sehingga beliau mendapat nombor tiga dalam kelas ketika itu.

“Ziyad dikelilingi orang yang sangat menyayanginya, kebolehannya ini juga adalah hasil bantuan gurunya berbangsa Cina di Kelantan. Sehingga kini, gurunya itu masih mengikuti perkembangannya,” katanya.

Selain Ziyad, seorang lagi atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi turut menyumbang emas kepada kontinjen negara menerusi acara 100m T36 lelaki (celebral palsy) dan mencipta rekod kejohanan baharu. 


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP