Monday, 5 September 2016

RM650 Juta Peruntukan Untuk Menceriakan Tugu Negara



Tugu Negara dan kawasan di sekitarnya mendapat suntikan RM650 juta bagi menjadikan kawasan seluas 66 ekar itu sebagai taman hutan hujan dalam bandar.

Sebahagian besar projek itu akan dibiayai Khazanah Nasional yang memperuntukkan dana sebanyak RM500 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata "hutan tropika mini dalam bandar raya" itu akan menjadi sebahagian daripada ikon utama Kuala Lumpur.

Berucap merasmikan projek Taman Tugu di Tugu Negara hari ini Najib berkata fasa pertama akan siap pada pertengahan 2018.

"Salah satu ciri global city(bandar raya global) ialah pembangunan masyarakat dalam sesebuah bandar raya menuju kepada kemudahan riadah. Kemudahan green lungs (kawasan hutan).

"Sebab itulah bandar raya London sinonim dengan Hyde Park, Central Park sinonim dengan New York.

"Jadi saya ingin suatu hari nanti, Taman Tugu ini sinonim dengan Kuala Lumpur yang bertaraf global city," katanya.

Projek itu dijalankan ketika isu mengenai kewajaran tugu menggambarkan makhluk hidup dianggap haram dalam Islam diperkatakan.

Isu itu kembali menjadi perhatian selepas timbalan mufti Perak Zamri Hashim menulis dalam sebuah akharmengenai binaan patung seperti burung helang adalah haram kerana menyerupai haiwan hidup.

Memetik hadis nabi Zamri berkata ijmak seluruh ulama mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan haram membina atau membuat replika patung yang lengkap bagi benda bernyawa seperti manusia atau binatang.

“Malah, jika sudah dibina wajib dirobohkan, manakala membinanya atau membuatnya adalah dosa besar,” tulisnya dalam sisipan “Ibrah” di Berita Harian pada 2 September lalu.

Dijangka siap pada 2020

Tugu Negara terdiri daripada patung gangsa menyerupai sekumpulan tentera dengan satu daripadanya memegang tiang bendera mengibarkan Jalur Gemilang.

Ia telah disiapkan pada 1966 untuk memperingati pasukan keselamatan yang terkorban semasa darurat di negara ini.

Setinggi 15 meter, ia adalah patung gangsa berkumpulan tertinggi di dunia.

Apabila taman itu siap nanti kata perdana menteri setiap pemimpin dunia yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini akan dipelawa menanam pokok sebahagai sebahagian daripada jadualnya.

Kata Najib walaupun Khazanah sudah menetapkan konsep taman itu agensi berkenaan masih terbuka kepada maklum balas orang ramai mengenai bagaimana hasilnya kesudahannya nanti.

Sementara itu berdasarkan kenyataan media projek itu akan melibatkan pemuliharaan 1,000 pokok dan penanaman lebih 5,000 lagi pohon dari hutan hujan Malaysia.

Laluan pejalan kaki juga akan dibina untuk menawarkan akses kepada taman itu, termasuk melalui stesen KTM Komuter Bank Negara, dan melalui KL Sentral melalui beberapa mercu tanda.

Di samping itu, kemudahan lain seperti gerai makanan dan minuman, taman permainan kanak-kanak, tempat acara dan kemudahan pendidikan akan dibina serta terbuka kepada orang ramai. 

Selain Khazanah, beberapa rakan kongsi projek itu ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim), Jabatan Alam Sekitar, Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan lain-lain lagi.

Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

- mkini

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP