Sekumpulan penjenayah bertopeng di sini bertindak memecahkan dua buah mesin pengeluaran wang (ATM) dan tiga peti wang tunai, yang menyebabkan kerugian berjumlah RM 1.14 juta.
Kejadian itu berlaku di sebuah pasaraya di sini kira-kira jam 2.15 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, ketika kejadian, empat pengawal keselamatan sedang bertugas sebelum seorang dari mereka menyedari kehadiran kumpulan penjenayah ketika membuat rondaan.
Katanya, kempat-empat pengawal keselamatan tersebut diikat sebelum diletakkan dalam stor berhampiran.
"Daripada siasatan awal kita percaya penjenayah ini merupakan sama ada bangsa Kemboja ataupun Vietnam dan melihat kepada cara mereka bertindak itu saya percaya mereka ini professional dan biasa membuat kerja menggunakan peralatan grinder (penggerudi) dan dipercayai juga menggunakan peralatan oxy.
"Jadi kita sedang menyiasat daripada semua sudut perkara ini," katanya di sini hari ini.
Penjenayah berkenaan dipercayai bersenjatakan parang dan pistol yang terselit pada pinggang salah seorang suspek.
Mereka kemudian beredar meninggalkan lokasi kejadian pada 6.30 pagi dengan melarikan wang tunai hasil rompakan.
Wan Abd Aziz berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.
Dalam pada itu, salah seorang pengawal keselamatan, Mohd Fathini Salam Mohd Razali menceritakan detik kejadian.
"Waktu itu saya sedang duduk, sedang mengaji dekat depan. Selepas itu saya dengar kawan saya menjerit dan saya bangun dan pergi tengok. Mereka kemudian datang dekat saya dan dengan parang, pistol sebelah kiri itu. Mereka cakap suruh beri kerjasama dan suruh saya ke belakang," katanya.
Polis bagaimanapun masih menyiasat kejadian.
Sumber : Bernama, Astro Awani
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment