Sunday, 18 September 2016

Polis Thailand Pulangkan 22 Kereta Mewah Rakyat Malaysia



BUKIT KAYU HITAM: Polis Thailand menyerahkan 22 kereta mewah bernilai RM2.2 juta yang dicuri di negara terbabit kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Bukit Kayu Hitam di sini, semalam.

Pegawai Perhubungan PDRM Kedutaan Malaysia di Bangkok, Asisten Komisioner Fauzi Khan Ismail, berkata kereta yang diserahkan itu merangkumi model mewah seperti BMW X6, Toyota Velfire dan Audi yang dicuri sejak enam tahun lalu di negara berkenaan.

Katanya, masih banyak kereta milik warga Malaysia ditahan dan belum dihantar pulang kepada pemiliknya, terutama di wilayah selatan Thailand.

"Selama setahun, kita bekerjasama dengan polis Thailand menjejaki kereta curi ini yang dibawa ke Myanmar dan ada yang digunakan di Thailand.

"Hasilnya, kita membawa pulang 22 kereta mewah ini dari Bangkok dengan tiga lori treler pada jam 1 tengah hari Jumaat dan tiba di Pusat Pemeriksaan Kastam Sadao jam 8 pagi semalam," katanya di sini, hari ini.

Penghantaran kereta curi itu adalah susulan majlis penyerahan kereta Malaysia yang ditemui di Thailand oleh Polis Diraja Thailand diketuai Timbalan Ketua Polis, Jeneral Wuthi Liptapallop, kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Salleh, di Bangkok pada 6 September lalu.

Sementara itu, pemilik kereta mewah BMW X6, Muhammad Tajuddin Jahabaddeen, berkata kenderaannya hilang kira-kira tiga tahun lalu di hadapan rumahnya di Kuala Lumpur.

"Terima kasih kepada PDRM dan polis Thailand kerana mendapatkan semula kereta saya," katanya ketika ditemui di Balai Polis Bukit Kayu Hitam.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP