SHAH ALAM - “Biarlah beliau (Anwar) menjalani hukuman, kelak akan bebas jua akhirnya, berkemungkinan lebih awal jika berkelakuan baik.”
Begitulah luahan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan melalui warkah buat Presiden Penaja Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Saiful, rakyat marhean di luar hanya ingin mengetahui hala tuju Bersatu, dasar, idealisme dan bukannya janji untuk pembebasan banduan yang bersalah sekiranya parti itu memenangi PRU akan datang.
“Nasihat saya, usah cemarkan wadah baru Bersatu yang ibarat bayi masih suci ini dengan kekotoran.
“Dalam kamus politik berdusta itu kononnya tidak salah, tapi dalam agama berdusta tak kira dalam politik atau tidak, ia sama sahaja semasa perhitungan di masyar nanti,” katanya yang dipetik menerusi entry baharu Facabooknya hari ini.
Difahamkan, Saiful menulis warkah berkenaan bagi mengulas laporan media yang memetik Muhyiddin sebagai menyokong pembebasan Anwar serta berikrar untuk menjadikannya agenda perjuangan parti itu.
Dalam pada itu, Saiful berkata, perjuangan berlandaskan kebatilan adalah sukar untuk berjaya malah Muhyiddin tidak perlu gentar untuk memperoleh sokongan sekiranya beliau yakin wadah baru ini adalah benar.
“Apatah lagi memohon pertolongan 'sokongan' dari makhluk yang Tan Sri sendiri tahu kebenarannya dan sudah diputuskan bersalah oleh Mahkamah.
“Belum terlambat untuk perbetulkan namun jika Tan Sri (Muhyiddin) beranggapan 'jalan pintas' ini jalan terbaik, maka saya ucapkan selamat 'maju' jaya,”katanya.
Tambah Saiful, sebagai pihak yang berkepentingan dalam kes ini, beliau mempunyai 'locus standi' untuk mengulas apa yang diperkata oleh Muhyiddin sebelum ini.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment