Atlet Malaysia cipta sejarah menang 2 emas di Paralimpik Rio
KUALA LUMPUR: Malaysia melakar sejarah dengan memenangi dua pingat emas pada Paralimpik Rio di Brazil, di mana dua atlet negara itu turut mencipta rekod dunia dan rekod paralimpik.
Pingat emas pertama diperolehi pelari pecut, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).
Ridzuan mencatat 12.07 saat, sekali gus memadamkan rekod Sukan Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine, iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada 2008.
Pingat perak dimenangi Yang Yifei dari China dengan catatan 12.20s dan gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Rodrigo Parreira da Silva dengan 12.54s.
Selepas majlis penyampaian hadiah Di Stadium Olimpik Rio, Ridzuan yang mempunyai kesukaran bertutur, menangis tanpa henti sehingga terpaksa ditenangkan ketua jurulatihnya, R Jaganathan.
Kejayaan Ridzuan disusuli Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran). Lebih manis, pemenang pingat gangsa pada edisi ke-14 di London itu mencipta rekod dunia baharu dalam percubaan pertamanya dengan jarak 16.40m, sekali gus memadamkan rekod dunia dan rekod Paralimpik milik Todd Hodgetts dari Australia, iaitu 16.29m yang dicipta empat tahun lalu. Atlet berusia 26 tahun itu meneruskan rentak cemerlang dan terus memperbaiki rekod dunia dengan jarak 16.84m pada percubaan kelimanya.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong saya. Tak lupa juga kepada keluarga, rakan saya, ISN, MSN dan media yang menyokong saya. “Inilah hadiah saya untuk kalian semua… gambar viral saya pegang kertas ‘Doakan untuk kami di Paralimpik’ inilah hasilnya. Terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu rakaman video.
Pingat perak menjadi milik Dimitrios Senikidis dari Greece dengan 16.17m dan gangsa dimenangi Hodgetts dengan 15.82m. Malaysia pernah memenangi pingat perak dan gangsa pada paralimpik sebelum ini.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment