KOTA BARU, 12 Sept — Tiada ikatan perjanjian antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi berhubung tempoh bayaran sumbangan kepada mangsa kren tumbang di Makkah tahun lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata tidak timbul isu berlakunya kelewatan bayaran sumbangan kepada anggota keluarga tujuh jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam insiden kren runtuh di Masjidil Haram September tahun lepas kerana ia hanya merupakan sumbangan dan bukannya pampasan.
“Kerajaan Arab Saudi mengambil tanggungjawab dan mengisytiharkan ingin memberikan sumbangan (dan bukannya pampasan), jadi sebab itulah kerajaan Arab Saudi dan Malaysia tidak ada apa-apa perjanjian yang mengikat untuk memastikan sumbangan ini dapat disalurkan secepat mungkin pada tempoh tertentu.
“Tetapi pada masa sama sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kerana rakyat kita juga terlibat dalam kren tumbang tersebut, justeru kerajaan sentiasa berhubung rapat (dengan kerajaan Arab Saudi),” katanya kepada pemberita selepas program World #QuranHour di Masjid Muhammadi di sini, hari ini.
Dalam kejadian 11 Sept tahun lalu, tujuh warga Malaysia adalah antara lebih 100 jemaah haji yang terkorban, manakala beratus lagi cedera selepas kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram.
Menurut Saudi Press Agency, penjaga dua kota suci iaitu Raja Salman memerintahkan pembayaran SR1 juta (RM1.14 juta) kepada keluarga mangsa yang terkorban, SR1 juta kepada mereka yang cedera hingga mengakibatkan hilang upaya kekal, dan SR500,000 kepada tiap seorang yang cedera. — Bernama
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment