Thursday 8 September 2016

Nasihat Hadi Kepada Nasrudin: Baca Al-Quran Bukan Facebook



Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menasihati ahli dan penyokong parti itu supaya sentiasa membaca al-Quran dan mengetepikan Facebook.

Memetik pengalamannya bertemu Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada suatu hari Nasrudin menceritakan bagaimana beliau memaklumkan kepada presiden PAS itu mengenai sikap serta pandangan awam terhadap parti mereka.

Antara isu utama yang dilaporkannya kepada Abdul Hadi ialah tanggapan ramai mengenai ketegasan beliau membawa rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta 355 ke Parlimen.

"Pandangan awam itu rata-ratanya saya kutip dari Facebook, Twitter, Whatsapp group dan lain-lain media sosial (serta) media konvensional.

"Sebahagian mendakwa PAS telah ditipu oleh Umno dan BN, sebahagian mendakwa PAS akan menyertai Umno dan BN, sebahagian menganggap PAS salah langkah politik sehingga menyebab PAS akan terpinggir dari arus perdana tanpa menafikan sebahagian yang lain pula menyokong penuh langkah PAS membawa RUU Ahli Persendirian ke parlimen," katanya.

Menurut anggota parlimen Temerloh itu reaksi Abdul Hadi terhadap laporan berkenaan ialah "sangat tenang".

Selepas mendengar laporan serta celotehnya mengenai sikap dan pendekatan PAS dalam pelbagai isu, Abdul Hadi hanya mengulas dengan sepatah ayat: "Anta (kamu) baca al-Quran, jangan baca Facebook."

Bagaimanapun untuk makluman Nasrudin menyatakan kisah dan nasihat berkenaan melalui Facebook.

Selamat ke akhirat

Kata Nasrudin pada tanggapannya Abdul Hadi tidak berminat untuk melayan "segala caci maki dan kritikan sinis" pengguna media sosial terhadap PAS.

Seminggu kemudian kata Nasrudin berlangsung mesyuarat bulanan PAS dan seperti biasa ia dimulakan dengan usrah ahli jawatankuasa pusat parti berkenaan.

"Rupa-rupanya ahli usrah lain turut membangkitkan perkara serupa, betapa Facebooker dan pengamal media sosial lain sebahagiannya mengecam PAS bertali arus dan mereka mahu mendapatkan respons balas dari Tuan Guru Presiden.

"Sewaktu merumus perbincangan usrah pada waktu itu, sekali lagi Tuan Guru Presiden menegaskan: Kita kena baca al-Quran, jangan baca Facebook saja!" tulis Nasrudin.

Bagaimanapun kata Nasrudin pada pertemuan bulanan itu Abdul Hadi menghuraikan dengan lebih panjang maksud penegasan beliau bagi memahamkan ahli usrah.

"Baca al-Quran! Al-Quran tidak ada akaun palsu. Al-Quran adalah benar! Al-Quran adalah kalamullah. Al-Quran adalah mukjizat Nabi SAW. Al-Quran adalah petunjuk dan pedoman hidup kita di dunia ini untuk sampai ke akhirat dengan selamat.

"Baca al-Quran! Jangan baca Facebook saja! Tegas Datuk Seri Tuan Guru Presiden mengakhiri rumusan usrah kami waktu itu," tulisnya dalam tulisan berjudul "Sekali Serban Dililit (51): Baca al-Quran! Jangan baca Facebook ..."

Kenyataan itu turut dimuat naik dalam portal Harakahdaily diiringi gambar Abdul Hadi sedang menatap komputer riba.

- mkini


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP