Sunday 11 September 2016

RM1 juta, Elaun Dan Kereta Baru Nanti Ridzuan, Ziyad



'Berbeza' di mata tapi sama di hati. Selepas membuat Malaysia bangga dengan berkumandangnya Negaraku di Rio de Janeiro, atlet paralimpik Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli bakal dihargai dengan imbuhan besar daripada kerajaan dan pihak swasta.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan ganjaran yang bakal diterima atlet paralimpik yang meraih pingat adalah menyamai ganjaran dijanjikan kepada atlet Olimpik sebelum ini.

Dalam kenyataannya di Facebook, Khairy sempat berkongsi cerita yang mencetus inisiatif ganjaran adil kepada atlet paralimpik dan atlet normal.

"Saya baru dua bulan sahaja dilantik jadi Menteri Sukan. Tiba-tiba terima berita dari Lyon, Perancis seorang atlet negara bernama Ziyad Zolkefli telah menang di kejohanan olahraga dunia. Dunia beb!

"Lepas saya terima berita tersebut saya tanya pegawai sama ada kementerian menyediakan insentif untuk kemenangan tersebut. Saya diberi jawapan memang ada," katanya.

Bagaimanapun beliau dimaklumkan jumlah yang disediakan adalah lebih sedikit disebab ia adalah sukan paralimpik.

"Saya tanya kurang berapa? Atlet para ni dapat 30 peratus dari nilai ganjaran atlet normal".

"Beberapa hari kemudian ada mesyuarat Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN). Saya selaku menteri dan juga Pengerusi MSN sendiri bangkitkan isu ganjaran untuk atlet para. Saya kata tidak adil mereka terima insentif kurang dari atlet biasa.

"Saya kata tidak adil mereka terima insentif kurang dari atlet biasa. Saya cadangkan kita tukar polisi ini. Bagi sama rata. Macam-macam hujah diberi untuk menidakkan cadangan saya," jelas Khairy.

Semangat Ziyad

Menurutnya, beliau teringat pada Ziyad dan pengorbanannya ketika itu.

"Takkan saya mengalah sedangkan beliau mengatasi segala kekurangan untuk menjadi juara dunia?

"Bilik mesyuarat senyap, menunggu menteri baru, muda dan mentah menyerah kalah di tangan para otai pentadbir sukan. Saya pinjamkan semangat Ziyad dan saya tanya satu soalan saja.

"Saya masih ingat, saya tanya dalam bahasa Inggeris: Do any of you around this table know what it takes to become a world champion with a disability? What it takes to overcome your disability and succeed?" ceritanya.

Khairy berkata, tiada seorang pun pegawai dapat menjawab soalannya.

Dia kemudian memutuskan supaya ganjaran sama rata diberikan kepada semua atlet negara yang mendapat pingat di peringkat antarabangsa.

"Terima kasih Ziyad kerana memberi saya semangat untuk mengubah layanan terhadap atlet para tiga tahun lepas. Hari ini Malaysia satu-satunya negara yang memberi insentif sama kepada atlet biasa dan atlet 'luar biasa'.

"Prestasi dan pengorbanan atlet paralimpik kita harus dihormati seperti atlet lainnya. Bukan 30 peratus dari atlet normal.

"Saya tidak tahu bagaimana merasai kebangsaan 30 peratus daripada mereka. Saya hanya rasa bangga 100 peratus dengan pahlawan paralimpik kita. Mereka luar biasa," kata Khairy.

Naza beri Kia Sportage

Selain itu, pemenang pingat emas Paralimpik Rio juga bakal menerima ganjaran RM5,000 sebagai elaun bulanan di samping tiket penerbangan percuma yang disediakan syarikat AirAsia sepanjang hayat mereka.

Sementara itu, Naza Corporation Holdings dilaporkan akan memberi ganjaran sebuah kereta Kia Sportage serba baru kepada atlet negara yang mencipta sejarah memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio di Brazil.

Perkara itu diumumkan oleh pengerusi dan ketua pegawai eksekutifnya, Nasarudin Nasimuddin dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya amat berbangga dengan atlet paralimpik Malaysia yang akan membawa pulang pingat emas milik mereka ke tanah air.

"Sebagai sebuah syarikat tempatan, Naza akan memberikan ganjaran berupa Kia Sportage serba baru setiap seorang kepada atlet negara yang memenangi pingat emas di Paralimpik Rio 2016," katanya.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP