SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dipetik sebagai mengesahkan bahawa 'Malaysian Official 1' (MO1) yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Memetik laporan BBC News, Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, jika dibaca secara jelas dokumen itu ia secara jelas merujuk kepada Najib.
"Saya telah kata secara terbuka. Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri," katanya.
DOJ menyebut MO1 dalam laporan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Memetik laporan itu lagi menyatakan, Rahman berkata, dalam isu ini mahkamah perlu membuat keputusan kerana ada nama lain yang dinamakan.
"Tetapi saya juga berkata, mengapa DOJ tidak menamakannya dengan nama yang betul. Ini kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan ini.
"Ada orang lain yang dinamakan... dan Jabatan Keadilan akan membawanya ke mahkamah dan mahkamah akan membuat keputusan," katanya.
Jelas Rahman lagi, Najib tidak perlu dipertanggungjawabkan di atas kegagalan 1MDB.
"Beliau telah bertanggungjawab dengan melantik pasukan baru di 1MDB.
"Tetapi hanya kerana sebilangan kecil NGO dan pembangkang yang mendesak supaya beliau mengosongkan kerusinya, beliau tidak seharusnya berbuat demikian. Itu adalah melampau,” katanya
Sebelum ini DOJ tidak menamakan 'MO1' tetapi menyifatkannya sebagai pegawai kanan kerajaan yang sebelum ini disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia kerana mempunyai AS$681 juta di akaun bank peribadinya.
Bagaimanapun Sinar Online yang meneliti video temubual BBC News tidak menunjukkan Rahman secara jelas menyebut individu tersebut adalah Najib Razak.
- sharian
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment