Friday, 3 June 2016

Ahli Umno Minta Mufti Perak Bertaubat



Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria disaran bertaubat ekoran kenyataannya menganggap pencalonan Mastura Mohd Yazid sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar tidak menyalahi hukum Islam.

Ahli Pemuda Umno Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Harussani itu seolah-olah mengizinkan seseorang wanita keluar rumah berkempen walaupun masih dalam idah akibat kematian suami.

Selain itu Syed Rosli berpendapat tindakan mufti itu dan pemimpin Umno membenarkan Mastura mengeluarkan gambarnya di media sosial seolah-olah memperlekehkan agama dan perintah Allah.

“Dengan menggunakan rakaman video dan poster beliau, secara tak langsung ia menggambarkan juga calon BN melanggar perintah idah dalam Islam.

“Apabila Umno dan mufti cuba mengubah suai perintah Allah maka mereka ini kelihatan memperlekehkan agama dan perintah Allah hanya kerana kepentingan individu.

“Pada saya ia perbuatan terkutuk dan keji. Saya harap pemimpin Umno khususnya mufti-mufti yang telah membuat kenyataan ini supaya insaf dan bertaubat kerana ia jelas menghina agama Islam dan menghina Allah,” katanya kepada Malaysiakini.

Selepas BN menamakan Mastura sebagai calonnya dalam PRK Kuala Kangsar, beberapa pihak menimbulkan isu kesesuaian balu allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dipilih.

Antara lain Mastura masih dalam keadaan idah selepas Wan Mohammad Khair-il Anuar meninggal dunia dalam kemalangan helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun beberapa pihak lain termasuk Harussani menganggap tidak ada larangan untuk seseorang wanita dalam idah dijadikan calon dalam pilihan raya.

Pada pandangan Harussani pencalonan Mastura itu tidak melanggar hukum agama mahupun budaya Melayu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata strategi itu julung kali diguna pakai jentera BN semenjak parti itu ditubuhkan.

Malah, katanya ia dibuat dengan mengambil kira fatwa mengikut hukum qat'ie dalam Islam dalam hal tempoh idah seseorang wanita yang kematian suami.

Zahid berkata antara kaedah telah dicari untuk memperkenalkan Mastura kepada pengundi termasuk merakamkan ucapannya yang akan disiarkan di semua pusat daerah mengundi dan lokasi-lokasi sasaran, selain melalui komunikasi tanpa lisan.

Syed Rosli sebelum ini menegaskan bahawa beliau akan bertanding di PRK itu sebagai calon bebas memandangkan BN meletakkan Mastura yang disifatkannya supaya tidak sesuai.

Beliau turut tidak gentar sekiranya keahliannya di dalam Umno dilucutkan kerana bertanding dalam PRK berkenaan.

- mkini





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP