Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli keluarga terdekat menantunya allahyarham Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi sewaktu di perkuburan Sungai Ramal Luar, Kajang. |
Allahyarham menantu timbalan perdana menteri tidak sedarkan diri sebelum sempat mencabut gigi di sebuah klinik swasta di Bangsar, Kuala Lumpur kelmarin, kata balunya.
Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, 37, berkata Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi ke klinik itu bersama rakan, lapor Harian Metro.
Anak sulung Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberitahu tentang kematian suaminya, yang kini dalam siasatan Kementerian Kesihatan, kira-kira 8 malam.
“Saya dimaklumkan dia belum sempat cabut gigi, hanya masuk ubat bius sebelum disahkan meninggal dunia.
“Yang lain siasatan sedang dilakukan polis dan saya tidak boleh beri kenyataan,” katanya selepas pengebumian di Sungai Ramal Luar di sini pagi semalam.
Sementara itu, lapor Kosmo! pula, seorang doktor gigi berpendapat risiko alahan ubat bius boleh menjadi punca seseorang yang sedang menjalani rawatan gigi meninggal dunia.
Dr Nur Ain Hair Johari berkata pesakit boleh mengalami “anaphylactic shock” ― reaksi alahan yang sangat cepat, hasil tindak balas tubuh badan yang tidak serasi dengan kimia sehingga boleh membawa maut.
“Selain itu, keadaan pesakit yang terlalu cemas ketika mendapatkan rawatan pergigian hingga menyebabkan berlakunya masalah pernafasan juga menjadi pemangkin kepada kematian ekoran oksigen tidak sampai ke jantung,” katanya.
Dalam kenyataan malam tadi di Facebook, klinik pergigian itu menjelaskan ubat bius untuk pembedahan kecil Syed Alman dibuat “bawah pengawasan pengamal perubatan terlatih”.
Imperial Dental Specialist Centre di Bangsar Baru juga meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau tanggapan bukan-bukan tentang kematian ahli pernigaan 44 tahun itu.
“Kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati keluarga (Syed Alman) dalam mengharungi waktu sukar,” kenyataan itu dipetik.
Syed Alman disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), tidak jauh dari Bangsar. Allahyarham meninggalkan lima anak berusia antara 7 hingga 19 tahun.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam semalam berkata masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kematian dan berharap orang ramai tidak membuat spekulasi.
“Siasatan sudah bermula semalam (Rabu), buat masa ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan,” katanya.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment