Seorang lagi pemimpin politik, MP Langkawi Datuk Nawawi Ahmad, meraih kontroversi melalui tindakannya menyiar gambar mayat mendiang Karpal Singh yang maut dalam satu kemalangan pagi ini.
Gambar yang menunjukkan mayat dengan cedera parah tersebut dikesan disiarkan dalam laman Facebook dengan nama “Dato Ir Nawawi Ahmad” sejak jam 9 pagi.
Turut disiarkan adalah gambar keratan akhbar memuatkan laporan berhubung kenyataan Karpal, 24 tahun lalu yang menegaskan pendirian MP DAP tersebut ke atas pembentukan negara Islam.
“Siapa nak sahut cabaran Karpal Singh? Sila bagi nama,” kata Nawawi di laman tersebut dengan nada bergurau.
Beliau merujuk kepada kenyataan Karpal dalam laporan dengan tajuk 'Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu - Karpal Singh' itu.
Tulisan dan gambar tersebut kemudiannya dipadamkan kira-kira tiga jam kemudian.
Bagaimanapun bukti penyiaran berkenaan berjaya dirakam dan disebarkan dengan meluas oleh pengguna Facebook lain yang mengutuk tindakan tersebut.
Ketika ditanya, Nawawi tidak menafikan bahawa beliau bertanggungjawab berbuat demikian.
Nawawi turut menjelaskan: “Facebook ini saya anggap tak rasmi dan tak serius.”
“Maka apa yang saya tulis itu saya tak sangka nak jadi viral (dikongsi meluas di kalangan pengguna) pula.
“Kalau saya nak buat kenyataan rasmi sudah tentu ayat yang disusun sangat berhati-hati,” katanya dalam SMS kepada Malaysiakini.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment