SHAH ALAM - Jika benar andaian bahawa terdapat kuasa besar terlibat dalam misteri kehilangan MH370, maka Malaysia tidak mampu membuat keputusan sendiri selain hanya bergantung kepada arahan dan petunjuk negara tersebut.
Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar berkata, kapasiti Malaysia sebagai sebuah negara dan kuasa kerdil akan mudah dimanipulasi oleh negara kuasa besar tersebut.
“Kita juga diberitakan terdapat penglibatan kuasa besar, seandainya benar, mereka saja yang lebih tahu dan akan mencorakkan misi pencarian ini selain tidak mendedahkan secara terperinci maklumat berkenaan kehilangan MH370 kepada Malaysia.
“Jadi amat sukar untuk Malaysia mencari penyelesaian berikutan maklumat tidak tepat ini sehingga menjerumuskan negara ke dalam situasi dilema seperti sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, keputusan tidak memberangsangkan hasil usaha mencari dan menyelamat juga kemungkinan berpunca daripada fakta yang disembunyikan oleh kuasa besar tersebut.
“Usaha pencarian dilihat agak buntu kerana dibayangi oleh negara kuasa besar yang hanya memberikan cebisan maklumat kepada kita. Kerana itu, usia pencarian yang kini masuk tempoh sebulan masih belum menemui apa-apa,” katanya.
Menurutnya, kuasa besar tersebut tidak akan mendedahkan perancangan sulit mereka dalam misteri kehilangan MH370, sebaliknya akan cuba mempermainkan isu menyalahkan Malaysia seperti yang dilakukan media asing kini.
Selain itu…
SHAH ALAM - Teori dan spekulasi tentang misteri kehilangan pesawat MH370 tidak boleh disangkal kerana pesawat terbabit masih belum lagi ditemui sehingga kini.
Ini termasuklah teori pesawat itu disembunyikan kuasa besar dunia yang mempunyai kepentingan terhadap kargo yang dibawa ataupun penumpang 'penting' yang dikatakan menjadi rebutan kumpulan tertentu yang kini menjadi antara berita yang tersebar di dunia maya.
Bagi sesetengah pihak, teori ini masih boleh diguna pakai kerana setakat ini masih tiada sebarang petunjuk dan bukti positif berhubung penemuan pesawat itu hingga ke hari ini.
Malah ada yang mengaitkan MH370 pernah mendarat di Pengkalan Tentera AS di Diego Garcia dengan kawalan tentera AS sebaik sahaja ianya hilang dari radar.
Pegawai Dasar dan Perancangan Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim ), Kepten Norhaizad Ismail berkata, kecanggihan teknologi yang dimiliki negara-negara maju dalam operasi mencari pesawat berkenaan mampu membawa petanda positif kepada penemuan pesawat itu.
“Jika berlaku kebakaran dan letupan, kemungkinan besar serpihan pesawat akan dijumpai.
“Seandainya pesawat berada di dasar lautan itu, pasti kita akan menemuinya walaupun mengalami kesukaran dari segi cuaca dan kedalaman Lautan Hindi,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Samsuni Mohd Nor.
Norhaizad berkata, negara barat menganggap kehilangan pesawat itu merupakan peristiwa yang misteri kerana hanya mengetahui lokasi terakhir dikesan oleh satelit Inmarsat di selatan Lautan Hindi.
“Sebelum ini Persatuan Penerbangan Udara Antarabangsa (IATA) turut mengakui kerumitan yang berlaku dalam hal ini dan akan mengkaji apa juga sistem di dunia ini untuk mengesan kapal terbang itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Maritim, Kepten Maritim Ang Cheng Hwa berkata, seandainya benar teori rampasan pesawat MH370 berlaku dan disorokkan di sebuah lokasi, pasti satelit mampu mengesannya.
Menurutnya apa yang berlaku ketika ini begitu pelik, seolah-olah ada pihak tertentu yang mendalangi kehilangan pesawat itu.
“Pengalaman kami di Laut Cina Selatan dan teknologi yang dimiliki seperti ROV mampu membantu kami mencari objek di bawah dasar laut sekiranya ia benar-benar terhempas,” katanya.
Ditanya mengenai bateri litium yang dibawa dalam kargo MH370, beliau menyifatkan bateri tersebut merupakan barang yang mudah terbakar sekiranya berlaku kerosakan.
“Seperti sedia maklum bateri litium berbeza dari bateri lain dan ia disimpan secara bertekanan tetapi mempunyai cara memadamkan bahan kimia dalam bateri itu.
“Tetapi apa yang boleh saya katakan seandainya berlaku kebakaran pasti juruterbang berjaya mengesannya di peringkat awal,” katanya.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment