Friday 11 April 2014

Lantik Peguam Shafee Wakili Kerajaan.. Peguam Negara Makan Gaji Buta?

Adakah peguam Umno Shafee senjata baru upahan Putrajaya, soal peguam dan bekas hakim

Peguam dan bekas hakim mempersoalkan mengapa peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilantik mewakili Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam kes sivil antara agensi tersebut dengan DAP berhubung pemilihan dalaman parti tersebut.

Kebimbangan disuarakan sama ada Shafee menjadi “senjata upahan” baru Putrajaya untuk menundukkan individu atau pertubuhan yang melawan kerajaan.


Mereka mempersoalkan langkah tersebut, memandangkan Pejabat Peguam Negara sebagai penasihat perundangan persekutuan yang sepatutnya dilantik mewakili RoS.

Malah kata mereka, secara tradisinya Pejabat Peguam Negara sepatutnya mewakili RoS dan ini menimbulkan kehairanan apabila mereka dikecualikan kali ini.

Peguam DAP, Gobind Singh Deo berkata mengetahui mengenai pelantikan Shafee semasa semakan kehakiman permohonan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Gobind berkata seorang peguam rendah daripada firma undang-undang Shafee memberitahu pendaftar mahkamah RoS menghubungi peguam kanan tersebut untuk mendapatkan khidmat beliau.
  
DAP, parti pembangkang utama Malaysia mencabar RoS kerana tidak mengiiktiraf senarai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selepas pemilihan terbaru pada September lalu.

Pemilihan kedua parti itu diadakan sembilan bulan kemudiaan, susulan arahan daripada RoS supaya mengadakan pemilihan semula.

Hakim bersara berkata Pejabat Peguam Negara memiliki peguam terbaik seperti Amarjeet Singh, Alice Loke dan Narkunavathi Sundareson untuk mengendalikan kes sivil.

"Saya masih tidak dapat lihat mengapa mereka tidak mampu mengendalikan hal tersebut melainkan ia pertarungan politik antara DAP dan Barisan Nasional," kata bekas hakim tersebut yang enggan mendedahkan identitinya.

Beliau menyifatkan langkah tersebut menyebabkan kemampuan Pejabat Peguam Negara menjadi pertikaian.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam Ragunath Kesavan berkata, dalam undang-undang menyatakan hanya peguam persekutuan mewakili agensi kerajaan dalam pertikaian sivil.

Beliau berkata dalam kes jenayah, Peguam Negara yang juga pendakwa raya, mewakili negara memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.

"Bagaimanapun, Kanun Keseksaan Jenayah memberi kuasa kepada pendakwa raya untuk mengeluarkan fiat bagi peguam untuk mengendalikan kes-kes jenayah bagi pihak negara ini," katanya.

Contoh terbaru adalah pelantikan Shafee sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk menerajui pasukan pendakwaan yang akhirnya berjaya membatalkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kes liwat.

Ragunath bagaimanapun, mempersoalkan pelantikan Shafee dalam pertikaian sivil.

Peguam kanan Karpal Singh berkata Akta Prosiding Kerajaan 1956 memperuntukkan pengekalan seseorang peguam oleh Peguam Negara untuk mewakili pegawai Persekutuan dalam prosiding sivil.

"Bagaimanapun, peruntukan tersebut hanya boleh dituntut dalam kes-kes berkecuali, di mana tiada kepakaran dalam Pejabat Peguam Negara," kata bekas pengerusi kebangsaan DAP dan ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Peguam Datuk N Sivananthan mempersoalkan mengapa wang pembayar cukai digunakan untuk membayar peguam peribadi, walhal terdapat peguam dalam Pejabat Peguam Negara.

"Dalam apa jua keadaan, seseorang peguam yang dilantik harus mendapat persetujuan Peguam Negara," kata beliau, sambil menambah yuran guaman yang dibayar kepada Shafee mesti didedahkan.

Sivananthan mempersoalkan sama ada Pejabat Peguam Negara juga akan memberikan kes jenayah dan sivil untuk dikendalikan peguam selepas trend terbaru melantik Shafee ini.

"Satu contoh yang tidak baik ditunjukkan," katanya.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata Pejabat Peguam Negara memiliki sumber yang banyak dan tiada sebab untuk mendapatkan bantuan peguam luar.

"Ia menimbulkan persoalan mengenai kepakaran khas yang dimiliki Shafee, tetapi tidak dimiliki Pejabat Peguam Negara," katanya.

Paulsen berkata orang ramai tidak boleh disalahkan untuk menganggap sumber awam dan agensi tertentu digunakan untuk menghapuskan mereka yang dilihat sebagai penentang.

"Pelantikan Shafee dalam kes RoS dilihat daripada perspektif negatif," katanya.

Usaha The Malaysian Insider untuk mendapatkan maklum balas daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Pengarah RoS, Mohammad Razin Abdullah menemui kegagalan. – tmi

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP