Monday, 21 April 2014

Selepas Harimau Jelutung Mati, Kini Muncul Seekor Lagi Harimau Yang Lebih Ganas


Lim Guang Eng menegaskan manifesto pilihan raya 2008 dan 2013 Pakatan Rakyat tidak memuatkan pelaksanaan hudud ataupun penubuhan negara Islam, malah ia turut dipersetujui semua parti komponen PAS, PKR dan DAP.


DAP tidak bersetuju dengan rancangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana ia tidak pernah dipersetujui ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat (PR), kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Lim, ketiga-tiga parti komponen dalam PR jelas tidak pernah membincangkan soal hudud mahupun negara Islam, sebaliknya semua parti bersetuju dalam soal dasar bersama seperti membanteras rasuah, memastikan urus tadbir yang baik, mewujudkan kedaulatan undang-undang dan keadilan, memastikan kemakmuran ekonomi dikongsi secara saksama dengan rakyat dan tidak hanya dinikmati oleh kroni.

"Pendirian PR tidak berubah kerana pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud tidak berubah. Di bawah PR, mesti ada konsensus ketiga-tiga parti dalam hal dasar.

"Memandangkan DAP tidak menyokong pelaksanaan hudud, isu sokongan PR terhadap hudud tidak berbangkit," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur

Menurut ketua menteri Pulau Pinang itu, manifesto pilihan raya 2008 dan 2013 PR juga tidak memuatkan pelaksanaan hudud ataupun penubuhan negara Islam, malah ia turut dipersetujui semua parti komponen PAS, PKR dan DAP.

"Semua parti komponen boleh mematuhi objektif masing-masing dalam rangka demokrasi, namun keutamaan dan fokus harus diberikan kepada dasar bersama PR," katanya.

Lim berkata, pendirian PR turut dipertegaskan semula oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila berkata, "model dan pelaksanaan hudud yang bakal diguna pakai oleh kerajaan negeri Kelantan perlu difahami terlebih dahulu sebelum PR mengambil keputusan bersama untuk mempersetujuinya."

Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menyatakan kesediaannya melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud selewat-lewatnya pada 2015 dan akan membentangkan undang-undang berkenaan di Parlimen.

Meskipun menerima bantahan keras daripada pemimpin bukan beragama Islam dari DAP dan Barisan Nasional (BN), Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan negeri Kelantan sudah melalui proses demokratik sepenuhnya sebelum memutuskan untuk membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat mengenai undang-undang jenayah Syariah termasuk hudud.

Beliau berkata, sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan undang-undang berkenaan, ia melalui proses yang betul dan mengikut amalan demokrasi.

Tan Sri Annuar Musa turut menyatakan kesediaan membantu mendapatkan sokongan terhadap pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan akan melobi ahli Parlimen Umno untuk menyokong pembentangan rang udang-undang persendirian kerajaan Kelantan di Parlimen.

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata, sebahagian besar daripada 88 pemimpin Umno di Parlimen akan menyokong pembentangan tersebut di Parlimen.

Isu hudud berlarutan sejak sekian lama, sebelum penubuhan PR apabila PAS Kelantan pada 1993 meluluskan enakmen berkenaan undang-undang Syariah.

Sejak itu, isu berkenaan turut menjadi perdebatan hangat dalam kalangan ahli Parlimen dari BN dan PR, serta dijadikan senjata politik dalam Pilihan Raya Umum 2013 lalu.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP