Thursday, 17 April 2014

Suasana Hiba Meratapi Kematian Karpal Singh Di Hospital Ipoh

Seorang ahli keluarga menenangkan isteri mendiangKarpal Singh (kiri) 
di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak, pagi ini, 
sementara menanti jenazah Karpal. – Gambar The Malaysian Insider
Jenazah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh tiba di Hospital Ipoh jam 7.25 pagi ini dari Hospital Kampar.
Karpal terbunuh dalam kemalangan di kilometer 301.6 Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira jam 1 pagi tadi.

Ahli keluarganya – isteri, Gurmit Kaur; anak lelakinya, Jagdeep Singh Deo dan Gobind Singh Deo serta anak perempuannya, Sangeet dan disertai Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta beberapa pemimpin lain kelihatan berada di hospital menanti jenazahnya.



Semua kelihatan menangis ketika jenazah Karpal dipindahkan dari van dan dibawa ke rumah mayat, yang baru dibuka semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering yang juga bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata ia adalah berita yang amat mengejutkan.

Beliau menggambarkan Karpal seseorang yang berpegang kepada prinsip.

“Dia akan berusaha sehabis mungkin untuk membetulkan apa yang salah. Kehilangan besar kepada negara dan masyarakat Sikh.

“Saya mengenalinya selama 20 tahun. Saya berjumpa dengannya di Parlimen dan beberapa acara DAP,” katanya ketika ditemui di hospital.

Karpal dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah ketika kejadian itu berlaku.

Menurut polis, kenderaan pelbagai guna itu remuk teruk selepas hilang kawalan selepas berlanggar dengan sebuah lori di KM301.6 Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira jam 12.40 pagi tadi.

Polis berkata, Karpal meninggal dunia di tempat kejadian. Terdapat empat penumpang dalam kenderaan Toyota Alphard itu, yang bernombor pendaftaran KS9898.

Pembantunya yang sudah lama berkhidmat, Michael Cornelius Selvam Vellu turut terbunuh sementara anak lelaki Karpal, Ramkarpal juga cedera di dahi dan lutut.

Pemandu dan pembantu rumah Karpal turut cedera. Pembantu rumah terbabit dikatakan berada dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melahirkan kesedihan menerusi laman Facebook miliknya dengan mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Karpal.

“Takziah kepada waris dan keluarga mendiang Karpal yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Seorang yang kita kenali sebagai pejuang keadilan yang meletakkan diri sepenuhnya membela rakyat. Moga keluarga tabah dan sabar dengan dugaan. Malaysia kehilangan seorang lagi pejuang rakyat,” tulisnya.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP