Wednesday, 2 April 2014

TERKINI MH370: Kenyataan Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR - Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan hari ini mengenai usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang:

Sokongan untuk anggota keluarga yang menaiki penerbangan MH370
    

"Kerajaan Malaysia menyedari pentingnya memberi maklumat yang tepat, terkini dan telah disahkan kepada anggota keluarga mereka yang menaiki pesawat MH370.

Malaysia juga berusaha memastikan kerajaan-kerajaan yang rakyatnya menaiki pesawat MH370 diberikan taklimat sepenuhnya.
    
"Lebih ramai rakyat China menaiki MH370 berbanding negara lain. Malaysia menyedari tangggungjawabnya untuk memberikan Kerajaan China maklumat yang telah disahkan, yang ia boleh gunakan untuk memberi taklimat kepada anggota keluarga rakyat China yang menaiki MH370. Sejak MH370 hilang, Malaysia sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa China di pelbagai peringkat kerajaan untuk memastikan maklumat yang tepat dan disalurkan pada masanya. Sejak 8 Mac, Malaysia telah memberikan taklimat yang lengkap dan menyeluruh kepada anggota Kerajaan China seperti berikut:
    
* Zhang Yesui, Naib Menteri Hal Ehwal Luar China dan Duta Khas Kerajaan China.
    
* Huang Huikang, Duta China di Malaysia.

* Pegawai-pegawai Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).
    
* Pegawai-pegawai Jabatan Penyiasatan Kemalangan Pesawat (AAID).
    
* Anggota-anggota Tentera Udara China yang mempunyai kepakaran tertentu  radar.
    
* Malaysia juga menghantar satu delegasi ke Beijing yang diketuai Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Hamzah Zainudin, yang telah menemui rakan sejawatannya di China, Naib-naib Menteri Luar Negeri Zhang Yesui dan Liu Jian Chow.
    
Taklimat hari ini untuk anggota keluarga China
    
"Satu sesi taklimat khas telah diadakan hari ini untuk anggota keluarga rakyat China yang menaiki MH370. Taklimat itu berlangsung dari jam 10:00 hingga  13:00 di Hotel Bangi di Putrajaya.
    
"Sesi taklimat itu dikendalikan oleh Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Khas Perdana Menteri ke China.  
    
"Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, telah memberikan kenyataan, yang dibaca seperti berikut:

"Saya faham anda mempunyai banyak soalan mengenai apa yang berlaku kepada orang kesayangan anda dan penerbangan MH370. Kami berada di sini hari ini untuk memberikan anda sebanyak mungkin maklumat, untuk membantu anda memahami mengapa dan bagaimana pasukan penyiasatan antarabangsa telah membuat kesimpulannya mengenai pergerakan MH370.
    
"Penyiasatan mengenai MH370 tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dengan sedikit petunjuk, para penyiasat dari seluruh dunia telah dipaksa menggunakan kaedah-kaedah baharu untuk mencuba dan memahami apa yang telah berlaku.
    
"Maklumat yang sedang kami siasat adalah maklumat terbaik yang kami ada. Kami menyusul semua bukti yang telah membawa kami dari Laut China Selatan hinggalah ke Selat Melaka; dari Laut Andaman hinggalah ke koridor Utara dan koridor Selatan; dan akhirnya ke Lautan Hindi.
    
"Saya mahu memberi jaminan kepada anda bahawa sepanjang operasi ini, kami telah melakukan segala-galanya berdasarkan bidang kuasa kami untuk mengesan MH370. Kami telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Kami gigih berusaha dan menjalinkan kerjasama dengan semua pihak yang boleh membantu - termasuk mereka yang berada di sini, hari ini.
    
"Kami akan memulakan taklimat teknikal sekarang.

"Taklimat teknikal diberikan oleh Jabatan Penerbangan Awam dan pakar-pakar teknikal China.
    
"Turut hadir di taklimat ini, untuk membantu menjawab soalan-soalan daripada  anggota keluarga ialah:
    
* Huang Huikang, Duta China di Malaysia;
    
* Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud;
    
* Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis DiRaja Malaysia  Datuk Huzir bin Mohamed;
    
* Timbalan  Ketua Setiausaha  III Kementerian Luar Negeri, Datuk Ibrahim Abdullah.
    
"Sesi taklimat ini telah disiarkan secara langsung kepada anggota keluarga mereka yang menaiki MH370, yang pada masa ini berada di Beijing.

Kehadiran Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Forum Pertahanan AS-Asean
    
"Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedang menghadiri Forum Pertahanan AS-Asean di Hawaii.
    
"Pagi ini, Menteri berkenaan mengadakan perbualan telefon dengan Setiausaha Pertahanan Negara British, Phillip Hammond. Semasa panggilan itu, Setiuasaha Pertahanan Hammond telah mengesahkan bahawa British akan menghantar HMS Tireless, sebuah kapal selam nuklear kelas Trafalgar dengan keupayaan sonar, untuk membantu operasi pencarian pelbagai negara bagi MH370.

Lawatan Perdana Menteri ke Perth
    
"Perdana Menteri Najib Razak dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada kira-kira 23:00 waktu tempatan pada Khamis 2 April.
    
"Perdana Menteri dijadual melawat pangkalan Tentera Udara Pearce pada pagi Khamis untuk menemui kakitangan yang terlibat dalam operasi pencarian pelbagai negara untuk MH370. Perdana Menteri juga akan diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pencarian itu.
    
"Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Australia Tony Abbott pada pagi Khamis." - Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP